Monday, August 31, 2009

PERARAKAN KEMERDEKAAN PERINGKAT NEGERI

Program perarakan Kemerdekaan pada tahun ini telah berlangsung dengan jayanya di Dataran di hadapan Bangunan MPSP, Bandar Perda. Walaupun dalam keadaan berjaga-jaga dengan pengyebaran wabak H1N1 dan juga musim hujan, ini tidak menghalang hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan program ini satu kenyataan. Disertai lebih 64 kontinjen yang berwarna-warni dari agensi kerajaan, swasta, NGO dan pancaragam sekolah, majlis ini telah berjaya menarik minat dari penduduk dari seluruh negeri untuk sama-sama merayakan hari yang mulia ini.

MAJLIS BERBUKA PUASA ANJURAN AKADEMI MARITIM

Baru-baru ini, Akademi Maritim dengan kerjasama JKKK Pulau Betong dan Jawatankuasa Masjid Pulau Betong telah bekerjasama mengadakan satu majlis berbuka puasa dan majlis penyampaian bantuan Ramadhan. Majlis yang diserikan dengan kehadiran T.Y.T Yang Dipertua Pulau Pinang dan TKM1 Pulau Pinang itu turut dihadiri oleh Y.B. Dato' Abdul Halim Hussain (Speaker D.U.N) serta Y.B. Mohd. Farid (ADUN Pulau Betong) dan Y.B. Dato' Seri Mohd. Hilmi (ADUN Telok Bahang).

DISKUSI KEMEREDEKAAN, TAHLIL & DOA SELAMAT DI MASJID NEGERI

Demi menghayati makna sebenar kemerdekaan dari perspektif Islam, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) telah menganjurkan sebuah program untuk memenuhi objektif tersebut. Majlis yang turut dihadiri oleh T.Y.T. Yang Dipertua Negeri serta Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang telah dimulakan dengan Diskusi Kemerdekaan yang menanampilkan 2 panelis iaitu, Prof. Dato' Sheikh Badaruddin Ahmad dari Kolej Insaniah, Kedah dan Ust. Fatim Nor Mohsein, Penolong Kanan di Sekolah Agama Daeratul Maarifil Wataniah, Guar Perahu. Majlis kemudiannya diteruskan lagi dengan majlis bacaan Yaasin, Tahlil serta Doa Selamat. Selepas menunaikan Solat Maghrib berjamaah, tetamu dan rakyat dijemput menjamu selera.

Tuesday, August 25, 2009

KEMPEN DI PERMATANG PASIR

Bersempena dengan Pilihanraya Kecil DUN N.11 Permatang Pasir, Y.B. Dato' Abdul Halim Hussain juga turut serta dalam menyampaikan ceramah untuk meyakinkan pengundi akan kemampuan Pakatan Rakyat dalam membela nasib rakyat. Bertempat di UPU Kampung Pelet, beliau memberitahu hadirin betapa demokrasi yang sebenarnya adalah demokrasi yang mengangkat maruah rakyat, dan bukannya demokrasi yang menindas rakyat.


MAJLIS TAHLIL, DOA SELAMAT & BERBUKA PUASA

Setelah tamat program di Dewan MPPP, Telok Bahang, para tetamu dan peserta program bergerak ke Masjid Jamek Telok Bahang untuk Majlis Tahlil, Doa Selamat dan Majlis Berbuka Puasa. Sementara menunggu waktu berbuka, Y.B. Tuan Dr. Mansor Othman, TKM1 Pulau Pinang dan Y.B. Dato' Hj. Abdul Halim Hussain telah menyampaikan sedikit ucapan bersempena kemuliaan Bulan Ramadan.

MAJLIS SUMBANGAN RAMADAN PERINGKAT JKKK TELOK BAHANG

Majlis yang berlangsung di Dewan MPPP Telok Bahang ini, menghimpunkan seramai 50 orang fakir-fakir miskin, ibu tunggal dan mereka yang tidak bernasib baik, dalam usaha membantu mereka menyambut Ramadan dan Syawal seperti insan yang lain. Program ini telah dirasmikan oleh Y.B. TKM 1 Pulau Pinang, Y.B. Tuan Dr. Mansor Othman dan turut dihadiri oleh Speaker DUN, Y.B. Dato' Abdul Halim Hussain, Ahli Parlimen Balik Pulau, Y.B. Tuan Mohd. Yusmadi Yusoff, Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat, Sdr. Shamsul Iskandar Mat Akin.

SIDANG MEDIA PROJEK PELANCONGAN DI TELOK BAHANG

Hari ini merupakan hari yang cukup bersejarah bagi seluruh penduduk Telok Bahang khasnya dan seluruh rakyat di Pulau Pinang amnya, kerana sebuah projek pelancongan yang bertaraf antarabangsa akan dibuka di kawasan tersebut. Projek tersebut adalah merupakan ilham Y.B. Dato' Abdul Halim Hussain, dalam agenda memajukan kawasan Telok Bahang, serta mewujudkan peluang-peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan. Projek yang mengambil masa sekitar 4 tahun untuk siap itu, akan diketuai oleh Sim Leisure, sebuah konsultan pembinaan yang terlibat dalam banyak pembinaan taman tema di Timur Tengah, Singapura dan beberapa negara lain. Taman yang diberikan nama 'Ecofun Resort' itu bakal mengutamakan aspek pemeliharaan alam sekitar, aspek kekeluargaan dan pendidikan kepada golongan muda.


MELIHAT ANAK BULAN DI PUSAT FALAK SHEIKH TAHIR

Pada tanggal 29 Syaaban setiap tahun, lazimnya seluruh pakar falak di seluruh dunia Islam akan menggunakan kaedah hisab dan rukyah dalam menentukan tarikh jatuhnya 1 Ramadhan. Baru-baru ini, Jabatan Mufti Pulau Pinang telah menjemput para pimpinan negeri untuk melihat sendiri proses penentuan tarikh permulaan puasa. Di antara tetamu utama yang hadir adalah Y.A.B. Ketua Menteri Tuan Lim Guan Eng, Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Y.B. Dato' Abdul Halim Hussain, Exco Agama Y.B. Tuan Abdul Malik Kassim, Mufti Sohibus Samahah Dato' Hassan dan Ketua Pengarah JAINPP, Tuan Hj. Sazali Hussein. Majlis tersebut dimulakan dengan membawa para tetamu ke galeri falak, sesi taklimat serta ke pelantar mencerap anak bulan di tingkat paling atas Pusat Falak Sheikh Tahir.


Friday, August 21, 2009

MAJLIS PENYAMPAIAN AGIHAN EHYA' RAMADHAN 1430H

Bertempat di Dewan Seri Mutiara,Politeknik Seberang Perai (PSP), satu majlis penyampaian agihan Ehya' Ramadhan 1430H kepada seluruh Jawatankuasa Qaryah di seluruh negeri Pulau Pinang. Majlis ini telah disempurnakan oleh T.Y.T. Negeri Pulau Pinang dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri 1, Speaker Dewan Undangan Negeri, Exco Agama Negeri dan pimpinan negeri yang lain.

JELAJAH PEMIMPIN MERDEKA

Pada sebelah petang hari yang sama, Y.B. Dato' Abdul Halim Hussain telah diundang untuk merasmikan penutupan kepada program Jelajah Pemimpin Merdeka 2009. Program yang berlangsung di Perpustakaan Awam Balik Pulau itu menyaksikan penyertaan dari 50 orang peserta dari pelbagai agensi kerajaan. Banyak aktiviti menarik yang dijalankan seperti temubual tokoh-tokoh merdeka, mengembara, dan banyak lagi.

PROGRAM MUHIBBAH MERDEKA 2009

Pada Rabu, 19 Ogos yang lalu, Y.B. Dato' Abdul Halim telah dijemput merasmikan serta sekaligus menyertai perarakan kontinjen kemerdekaan ke Canopy Walk, Taman Negara Telok Bahang. Program yang disasarkan untuk menggantung jalur gemilang gergasi di Canopy Walk, adalah bertujuan untuk menyemai rasa cinta pada negara dan menghargai kemerdekaan yang telah dikecapi selama ini.